HARI MEMPERINGATI KEKASIH ROSAKKAN AKIDAH REMAJA
Hari memperingati kekasih atau Valentine’s Day datang lagi. Perayaan yang kebiasaannya dinanti-nanti oleh golongan remaja atau muda mudi, dikenali sebagai perayaan hari kekasih, yang menurut mereka adalah saat paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada mereka yang dicintai.
Perayaan yang disambut 14 Februari setiap tahun, diraikan di kafe-kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat romantik, yang mana setiap pasangan memberikan hadiah berupa coklat atau bunga kepada insan dikasihi. Kemudian, pelbagai bentuk pesta berisi hiburan seumpama nyanyian, tarian dan sebagainya diadakan muda-mudi terbabit.
Sebenarnya, Valentine tiada kaitan dengan Islam. Oleh yang demikian, ia tidak sepatutnya menjadi sebutan dalam kalangan kita, kerana ia bukan tuntutan agama dan juga adat budaya kita.
Bagi penganut kristian, mereka bebas untuk menyambut hari tersebut kerana ia sememangnya ajaran dan tuntutan ritual agama mereka. Kita tidak boleh menghalang mereka untuk menyambutnya, sama ada ia mendatangkan kebaikan atau sebaliknya, itu urusan mereka.
Namun,bagi umat Islam,kita menolak amalan ini bukan kerna kebencian atau permusuhan,tetapi ia sememangnya bukan ajaran agama kita.Apatah lagi,apabila Islam meletakkan garis pemisah dan dasar akidah yang jelas.Islam mahu umatnya mentauhidkan Allah yang menjalani kehidupan dengan sistemnya yang tersendiri.Justeru,umat Islam dengan penuh keimanan wajib mematuhinya.
"Kehidupan bukan berakhir setakat di dunia sahaja.
Kehidupan ini berterusan hingga ke alam akhirat.
Dunia adalah ladang akhirat.
Kita berladang di dunia berdasarkan akidah, ibadat dan akhlak.
Kemudiannya menuainya dengan mendapatkan ganjaran pahala
dan nikmat syurga yang berkekalan di akhirat kelak.
Sekiranya, kita berladang di dunia dengan perkara yang tidak dituntut oleh Allah, maka ia tidak akan dinilai di akhirat"
Jika, Hari Valentine itu bukan suatu tuntutan yang menghasilkan rahmat dan ganjaran syurga di akhirat, kenapa pula kita kena menyambutnya?
Apatah lagi jika ia bakal membawa derita yang berkekalan di dalam neraka.
HUKUM MEMPERINGATI HARI KEKASIH
Tiada kekeliruan hukum dalam isu Hari Valentine, kerana ia jelas amalan agama lain. Hukumnya adalah haram kerana sambutan ini mengandungi unsur-unsur dan elemen kepercayaan agama lain, di samping pelbagai perkara sampingan yang membawa kepada perbuatan maksiat dan bercanggah dengan Islam.
Abu Daud meriwayatkan sebuah hadis bermaksud,
“sesiapa yang menyerupai sesuatu sesuatu kaum maka ia termasuk dalam kaum tersebut”
Al-Bukhari dan Muslim juga menyebut,Rasulullah bersabda,
“sesiapa mengamalkan perkara bukan kami maka ia ditolak”
Jadi, bila kita sudah tahu hukumnya haram, mengapa masih ada yang ghairah menganjurkan majlis dengan tema sebegini (menghargai kekasih dan berkorban untuk kekasih). Haram tetap haram, ia tidak boleh menjadi halal.
Tahukah anda??
Dari mana Asal usul hari kekasih ini?
Menurut cacatan sejarah, pelbagai kisah diceritakan mengenai asal usul sambutan hari kekasih ini. Ada yang mengatakan sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine pada 14 Februari setiap tahun sebagai "hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka".
Manakala dalam penceritaan lain, Hari Kekasih ini diraikan oleh penganut Kristian yang memuja seorang paderi bernama St.Valentine dengan menganggap beliau seorang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya.
Antara sejarah lain pula, Hari Valentine diambil daripada nama paderi Saint Valentine atas kesungguhan mempertahankan hak tentera pada zaman pemerintahan Claudius II untuk berkahwin. Ini kerana, semasa Claudius II memerintah kerajaan Rom, beliau menghalang tentera-tentera Rom berkahwin kerana pada pendapat beliau, mereka akan lebih kuat dan tabah untuk berperang jika masih bujang. Namun secara senyap, Saint Valentine melakukan upacara pernikahan dan ini mendatangkan kemarahan Claudius II. Lalu paderi itu dihukum gantung pada 14 Februari 269 masihi.
Pada zaman pertengahan, masyarakat England dan Perancis pula menganggap 14 Februari sebagai “hari burung mencari pasangannya”. Pada kurun ke-14 dan ke-15, mereka mula meniru perbuatan burung tersebut dengan mengadakan hari mencari pasangan atau jodoh pada tarikh tersebut. Masing-masing akan mengucapkan “selamat Hari Valentine”sesama pasangan mereka.
Ada juga mitos menyebut, kad Hari Valentine dijadikan amalan memperingati peristiwa seorang paderi yang dipenjarakan dan sering menghantar kad bertulis “from you valentine” kepada kekasihnya, seorang gadis iaitu anak seorang pengawal penjara.
"Islam menyeru seluruh umat Islam,khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih dan menghindari perkara-perkara yang boleh membawa kepada sikap untuk meraikanya"
"Islam mempunyai tahap dan peringkat dalam menzahirkan rasa cinta dan kasih iaitu tahap tertinggi,cinta kepada Allah,nabi,ibu,bapa,suami atau isteri,zuriat,dan saudara seislam"
Sikap-sikap yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada Hari Kekasih
Sikap untuk berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis untuk menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.
Menghantar kad-kad ucapan tertera kata-kata Valentine's Day dan kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap (menjadi simbol kepercayaan agama Kristian).
Menulis ucapan kata-kata cinta pada kad yang diutus dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ia juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.
Menghantar pesanan ringkas kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan hari memperingati kekasih sebagai tanda percaya akan "keajaiban" hari tersebut.
Peringatan untuk perbaiki diri sendiri
With Love,